KEMAHIRAN MEMBACA

 KEMAHIRAN MEMBACA 





1.0   PENGENALAN

 Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran- kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur ataupun digelar sebagai kemahiran lisan. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, membaca juga dapat membantu memperluaskan lagi pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang.  Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali ayat-ayat bertulis kepada ayat yang berbunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca juga berbeza daripada mendengar kerana membaca melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran. Kemahiran membaca merupakan proses yang dinamik tetapi kompleks dan meliputi keupayaan membaca dengan pantas, memahami fakta, kebolehan mengingati fakta serta membuat interpretasi secara bijak dan analisis. Ketika seseorang itu membaca, sebenarnya ianya sedang berkomunikasi secara langsung dan sedar dengan bahan bacaanya. Seseorang itu juga turut cuba menyelami pemikiran dan idea yang cuba disampaikan oleh pengarang (Zulkifley Hamid, 1994).


2.0   KONSEP MEMBACA  

Pumfrey (1977) berpendapat membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf daripada ayat yang dibaca, tetapi juga membaca adalah lebih jauh daripada itu. Membaca adalah satu proses yang dapat membina pemikiran pembaca. Pada masa yang sama, dengan membaca seseorang itu harus dapat membina kebolehan dalam menilai, mengulas dan mengkritik apa yang dibaca dengan tepat, memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan cita-cita serta fikiran yang terbuka dan positif. Psikolinguitik kognitif menolak definisi membaca menurut fahaman teori pembelajaran lama yang mengatakan bahawa membaca adalah satu kegiatan mengenal kata-kata dengan cara membunyikannya (dalam hati) dan kemudian menarik erti daripada kata-kata itu. Definisi ini seolah-olah mementingkan pengenalan kata yang tepat satu persatu dengan cara menyembunyikannya lebih dahulu sebelum kita dapat menarik erti sesuatu kalimat. Definisi ini mengetepikan peranan yang dimainkan oleh pembaca. Pembaca merupakan orang yang pasif yang hanya menunggu kemasukan erti dari luar, Ini merupakan  proses satu hala yang sangat bercanggah dengan keadaan sebenarnya. Proses satu hala ini ditentang oleh psikolinguistik kognitif kerana tidak mengambil kira peranan yang dimainkan oleh pembaca.


3.0      PROSES MEMBACA

Penyelidik-penyelidik seperti Goodman (1971- 1973) dan Smith (1971-1975)  pernah menyatakan pendapat bahawa membaca ialah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca itu memerhatikan perkataan pada muka surat sehingga pembaca itu dapat membentuk makna. Hal ini bermakna sepanjang proses membaca terdapat interaksi antara bahasa dengan pemikiran.

Antara proses-proses dalam membaca ialah;



 

 3.0      JENIS BACAAN


terdapat beberapa jenis bacaan yang wujud dalam kemahiran membaca iaitu;





                 3.1      Bacaan Mekanis (bersuara)

         Bacaan Mekanis iaitu membaca dengan menggunakan suara, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahami informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang. Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memberi makna bagi apa sahaja isi yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, seseorang itu harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh sekali gus Ianya juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar dapat memberikan makna yang jelas kepada para pendengar. Bacaan mekanis juga merupakan satu ketrampilan yang serba  kompleks yang membawa pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksi suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan daripada pemahaman. Bacaan mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah ketrampilan serta minat. Untuk membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah  terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggapan yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Selain daripada itu, aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul.

                3.2        Bacaan Mentalis (senyap)

 Bacaan mentalis ini ialah membaca secara senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca bunyi, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih bagus kerana dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. 

                3.3        Bacaan Intensif

 Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan ketelitian isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang melibatkan  bacaan intensif ini adalah membaca isi dan membaca bahasa. Dalam isi ini, membaca dengan teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangankan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta penggunaan bahasa itu sendiri dalam konteks dan situasi yang berlainan. Bacaan intensif juga boleh dibaca dengan pelbagai cara iaitu :

                 

Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu. Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal memahami keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazir masa sahaja. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dari dalam. Ini kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan mulut. 

          Bacaan imbasan yang pula dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya.sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus difahami. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca. Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut

              3.3    Bacaan  Ekstensif

Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka masa yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi-isi yang penting dengan cepat dan dengan menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:



  • Membaca tinjauan
Membaca tinjauan dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita fahami terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan pemeriksaan, meneliti indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat atau meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan.

  • Membaca sekilas

Membaca sekilas adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan. Pembacaan sekilas juga adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses ini, mata bergerak dengan cepat, melihat dan memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta. Satu daripada tujuan membaca sekilas adalah untuk mendapatkan kesan umum daripada sesebuah teks yang akan dibaca. Pembaca mungkin akan melakukannya dengan jalan meneliti halaman judul, kata pengantar, daftar isi, gambar dan diagram, indeks dan sebagainya. Daripada tindakan begini, pembaca akan mendapat satu pandangan atau gambaran yang lebih baik dengan mempelajari sifat, hakikat dan jangkauan buku tersebut, susunan dan organisasinya. Satu lagi tujuan membaca sekilas adalah untuk menemukan hal-hal tertentu. sebagai contoh untuk menemukan bahan-bahan daripada pusat sumber atau perpustakaan. Membaca sekilas merupakan satu keterampilan yang sangat berfaedah. Sekiranya kita dapat menggunakannya dengan bijaksana, iaitu menggunakannya secara tepat dan cerdas, kita akan memperoleh banyak maklumat dan fakta yang boleh perolehi dalam satu jangka masa yang singkat. 

  • Membaca dangkal

Membaca dangkal yang disebutkan juga sebagai superficial reading adalah bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan bacaan. Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti–aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memahami dan mengaplikasikan isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca serta membina dan mengukuhkan minat membaca dan kebolehan dalam memetik isi-isi penting.

4.0   TUJUAN MEMBACA

Terdapat dua tujuan dalam membaca antaranya ialah tujuan serta-merta dan tujuan lanjut.

        4.1     Tujuan Serta-Merta

Tujuan serta-merta adalah untuk membolehkan seseorang itu untuk membaca dan memahami sesuatu bahan bacaan yang dibaca. Apabila seseorang itu dikatakan "boleh membaca" maka kenyataan itu bermaksud seseorang itu boleh membaca dengan cepat, tidak teragak-agak, boleh membaca dengan serta-merta dan tidak mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan sesuatu bahan bacaan.

        4.2     Tujuan Lanjut

Tujuan lanjut bermaksud seseorang itu dapat membetulkan fahamannya yang salah, membandingkan fikiran dan pengalaman orang lain untuk menyelesaikan masalah hidupnya sendiri serta seseorang itu juga seharusnya dapat berfikir dan melahirkan fikiran dengan cara yang teratur adalah merupakan tujuan lanjut.


5.0     KESIMPULAN

Kesimpulannya, dalam kemahiran membaca terdapat pelbagai cabang yang perlu dipelajari dan dikuasai antaranya iaitu jenis-jenis bacaan, proses dalam membaca serta tujuan membaca. Kemahiran membaca juga merupakan salah satu kemahiran yang sangat penting selain daripada kemahiran lisan iaitu kemahiran mendengar dan bertutur kerana semua ini mempunyai kaitan antara satu sama lain dan penting untuk dikuasai bagi memudahkan diri kita untuk memahami sesuatu ayat tersebut daripada bacaan yang dilakukan.







Ulasan